Sabtu, 9 April 2011

Islam dan Teknologi Maklumat

"KEMAJUAN teknologi maklumat dalam era baru sesungguhnya merupakan satu punca ilmu pengetahuan yang sungguh mengagumkan pernah dicapai oleh akal fikiran manusia yang dikurniakan Allah s.w.t. selama ini.

Penggunaan komputer untuk mencari kepelbagaian ilmu pengetahuan dengan cepat dan menyeluruh dalam Internet merupakan satu keistimewaan manusia pada hari ini. Bagi orang Islam yang beriman dengan kekuasaan Allah s.w.t. maka pencapaian manusia dalam teknologi maklumat adalah merupakan satu petanda pencapaian ilmu yang seharusnya digunakan untuk mencari kebenaran seperti firman Allah s.w.t.:

''''Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di sekitar jagat dan di dalam diri mereka sendiri sehingga ternyatalah bagi mereka bahawa (Islam) itu benar.'''' (al-Quran Fussilat (41), ayat 53).

Proses globalisasi dan pensejagatan ilmu merupakan satu proses yang dapat menyerlahkan kebenaran dan memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang positif sesuai dengan tuntutan agama sendiri. Berdasarkan hal ini maka orang Islam tidak seharusnya menyisihkan diri dari perkembangan dan pembangunan teknologi maklumat pada hari ini, malah kita seharusnya dapat melibatkan diri secara aktif dan menjadi penyumbang utama untuk melahirkan satu masyarakat bertamadun bercirikan kebenaran seperti yang terkandung dalam agama kita.

Apabila kita berbicara tentang Internet lawan dakwah dan membentangkan beberapa unsur pemusnah nilai-nilai agama melalui Internet dan surat elektronik, maka kita tidak bermaksud agar kita menjauhkan diri daripada menggunakan komputer dan Internet. Malah tujuan kita ialah agar kita turut terlibat secara langsung di dalam aktiviti keilmuan ini dengan menggunakan berbagai-bagai kemudahan komputer untuk menyebarkan ilmu dan sekali gus dapat memanfaatkan diri dengan pencapaian istimewa manusia dalam teknologi maklumat itu.

Kita dapat mengesan beberapa pandangan yang membina tentang perkembangan teknologi maklumat dan kemanfaatannya. Tetapi peringatan dan amaran yang disuarakan ialah kebimbangan dan kekhuatiran yang amat besar tentang pengaruh negatif perkembangan ini terhadap nilai dan pegangan akidah umat Islam, khususnya generasi muda yang sedang mencari nilai-nilai hidup sendiri dan yang kurang memahami asas-asas akidahnya secara mantap.

Unsur-unsur lucah dan gejala hedonisme daripada satu pihak amat menonjol dalam Internet yang seolah-olah disogokkan untuk merubah nilai dan pandangan hidup manusia sejagat dan mengepung mereka dalam satu lingkungan yang bebas daripada nilai-nilai agama dan moral yang positif untuk kesejahteraan manusia.

Daripada satu pihak yang lain unsur-unsur negatif dan mengelirukan yang ditonjolkan tentang kebenaran agama mungkin boleh membawa kekeliruan pandangan tenang akidah dan unsur-unsur tauhid agama, termasuk persoalan-persoalan tentang ketuhanan dan kerasulan.

Hal-hal seperti ini memang tidak dapat dinafikan kewujudannya, dan seperti yang dijelaskan maka unsur-unsur ini terbukti amat cepat penyebaran dan kebanjirannya dalam masyarakat manusia, termasuk masyarakat kita yang sedang menggalakkan pembangunan teknologi ini.

Unsur-unsur pendidikan dan pengawasan diri haruslah dipertingkatkan ke tahap yang paling maksimum agar teknologi maklumat dapat dimanfaatkan oleh kita dalam membina masyarakat madani yang kita cita-citakan.Unsur-unsur penapisan diri dan membina kekuatan dalaman haruslah dipertingkatkan dengan bersungguh-sungguh agar cabaran-cabaran negatif dalam teknologi maklumat itu dapat dilawan dan diatasi dengan sebaik-baiknya.

Semua faktor pengawasan dan pendidikan manusia, termasuk ibu bapa dan guru-guru, para pemimpin, dan jentera kerajaan sendiri haruslah dijanakan dengan sebaik-baiknya untuk mendidik semua peringkat generasi masyarakat kita yang sedang membangun supaya dapat menggunakan teknologi maklumat secara yang bertamadun untuk membina masyarakat madani.

Masyarakat bertamadun yang hendak kita bina ialah masyarakat yang berasaskan sistem nilai dan pembangunan ilmu pengetahuan yang menuju kepada kebenaran dan kekuasaan Allah S.W.T.

Hal ini memerlukan penyertaan orang-orang Islam sendiri dalam pembangunan teknologi maklumat secara positif dan proaktif. Biarlah ilmu dan kekayaan orang Islam dalam tamadun menjadi penyumbang yang konkrit untuk memajukan teknologi maklumat, dan bukanlah sebaliknya.

Terdapatnya beberapa kumpulan anak-anak muda Islam yang membuka laman web mereka tentang kumpulan ''''gay dan lesbian Islam'''' sesungguhnya amat memalukan dan merupakan satu tamparan hebat kepada kesucian agama kita.

Malah penyebaran junk e-mail dalam bahasa Melayu di negara kita sendiri nampaknya semakin meluas dan menjadi-jadi, iaitu yang merupakan satu perkembangan yang amat tidak sihat dalam pembangunan teknologi maklumat dan saluran elektronik di negara kita.

Masih banyak nampaknya unsur negatif dan mengelirukan disebar begitu mudah melalui e-mail oleh kalangan yang ingin menyebarkan fahaman salah tentang pelbagai isu. Malah tidak kurang pula yang menggunakannya bersembang lucah dan menghantar bahan-bahan porno yang hanya mencerminkan kecetekan ilmu dan kedangkalan iman.

Bagaimanakah hendak kita binakan masyarakat madani dan mengembalikan tamadun gemilang kita, sekiranya sikap negatif ini masih mencengkam jiwa orang-orang Islam sendiri dan unsur-unsur yang meruntuhkan ini lebih banyak mendapat perhatian daripada unsur-unsur yang dinamik dan membina?

Masyarakat islam sekarang amat memerlukan golongan berilmu dan berhikmah dalam membangun teknologi maklumat secara bertamadun, dan orang-orang Islam sendiri haruslah menjadi sumber ilmu dan hikmah itu sendiri, terutamanya apabila semua prasarana teknologi maklumat itu telah dibangunkan dengan jayanya di negara kita."

Dipetik daripada : http://zulkiplyharun.com/php

Tiada ulasan:

Catat Ulasan